Pengajian Am

Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia

Archive for August, 2010

SELAMAT MENYAMBUT HARI KEBANGSAAN 2010

Posted by Cikgu Awang on August 31, 2010

Rumah Usang

Kata orang negara itu tanah, air, angin, gunung, hutan, sungai dan lautan;

Tapi sebenarnya,

Negara itu rumah,

Dan rakyat ahli keluarganya…

Mungkin rumah kita ini sudah usang,

53 tahun usianya, dan ada yang bertanya

Apa perlunya diagungkan rumah yang usang?

Barangkali kita lupa,

Zaman kita dibodohkan oleh british,

Kata-kata manis, taburan janji,

kita dihina di tanah sendiri.

Mungkin juga kita lupa,

Pada kemarau yang dibawa

Dari terik matahari jepun.

Kita menjadi abdi ditanah sendiri,

Betapa peritnya bila difikirkan kembali.

Dan kita terlupa,

Setelah terbenam si matahari,

13 malam kita lalui,

Gelap gelita semuanya,

Yang kelihatan, hanya 3 butir bintang,

Dari sinaran itu, Seribu derita seribu bencana kita merasa,

Hanya dari 3 butir bintang…

Mungkin benar, rumah kita sudah usang,

Tapi dirumah usang inilah segala mimpi menjadi nyata,

jangan kita lupa,

Rumah usang ini dibina dari darah keringat,

Air mata dan derita.

Kata orang, melayu mudah lupa,

Tapi sebenarnya,

Melayu, Cina India,

Kita semua memang mudah lupa.

Posted in isu semasa | Leave a Comment »

Proses Penggubalan Undang-undang- Video youtube

Posted by Cikgu Awang on August 26, 2010

Posted in education | Tagged: , | Leave a Comment »

Dapatan kajian pendapat 22 Julai 2010.

Posted by Cikgu Awang on August 26, 2010

Soalan kajian pendapat.

Pada pendapat anda, adakah skop pembelajaran Kenegaraan sangat luas?

Terima kasih atas responden yang memberi maklum balas terhadap kajian pendapat ini.

Seramai 89 responden telah memberi respon.

Berikut dapatan daripada kajian pendapat tersebut :

Sangat setuju (45%)

Setuju (40%)

Tidak pasti (3%)

Tidak setuju (3%)

Sangat tidak setuju (6%)

Didapati majoriti responden bersetuju skop pembelajaran kenegaraan (K1) sangat luas mencakupi keseluruhan aspek pentadbiran, kehakiman, perundangan dan dasar-dasar. Pengenalan modul baru tingkatan 6 yang bakal diperkenalkan nanti di harap ada perubahan terhadap sistem sedia ada.

Posted in education | Leave a Comment »

Kursus palsu: Lebih 2,000 kes dilapor

Posted by Cikgu Awang on August 25, 2010

KUALA LUMPUR 23 Julai – Nasib malang ramai pelajar ditipu institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) seharusnya menjadi pengajaran kepada pelajar lain yang bercita-cita melanjutkan pelajaran.

Berdasarkan maklumat daripada Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), sejak 2007 sehingga Mei lalu, sebanyak 2,192 aduan diterima oleh pihaknya berhubung pelbagai jenis penipuan di IPTS.

Kebanyakannya adakan berkaitan status pengiktirafan kursus yang diambil termasuk penipuan kononnya mendapat akreditasi penuh daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

Itu baru yang diterima oleh FOMCA menerusi Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC). Dipercayai lebih ramai lagi pelajar yang tertipu tetapi keberatan untuk tampil membuat aduan.

Setiausaha Agung FOMCA, Muhammad Shaani Abdullah berkata, antara aduan daripada pelajar ialah mengenai iklan mengelirukan mengenai program ditawarkan IPTS berbanding sehingga akhirnya menyedari mereka tertipu.

“Rata-rata aduan adalah berkaitan penipuan IPTS khususnya yang memperdayakan maklumat berhubung status pengiktirafan.

“Sehubungan itu, kami merayu dan menasihatkan semua pelajar yang ingin melanjutkan pengajian supaya menyiasat terlebih dahulu latar belakang sesebuah IPTS,” katanya yang juga Pengarah NCCC.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (Cassa), Datuk Dr. Jacob George berkata, pihaknya menerima purata lapan aduan sebulan berhubung penipuan oleh IPTS.

“Ini meliputi kes-kes program pengajian tidak diiktiraf, pembiayaan yuran pengajian mahal, penipuan tenaga pengajar serta kekurangan fasiliti.

“Aduan paling banyak berkaitan pengiktirafan terhadap sijil, iaitu tiada akreditasi daripada MQA,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sehubungan itu, Jacob mencadangkan Kementerian Pengajian Tinggi lebih proaktif mengatasi masalah IPTS yang menawarkan kursus-kursus tanpa akreditasi serta ‘tawaran-tawaran program palsu’.

“Tindakan ini akan memberi teladan kepada semua pihak untuk lebih berwaspada menjalankan perniagaan serta menjadi panduan kepada orang awam memilih IPTS yang terbaik buat anak mereka,” katanya.

Artikel lain berkaitan :

http://anasredza.blogspot.com/2010/04/dua-ipts-tipu-kwsp-babitkan-rm16-juta.html

http://web10.bernama.com/kpdnhep/newsBm.php?id=148140

Posted in education | Leave a Comment »

Kejutan budaya punca pelajar di IPTS gagal capai GPA 2.0

Posted by Cikgu Awang on August 18, 2010

Kejutan budaya punca pelajar di IPTS gagal capai GPA 2.0
Oleh Ratinawati Rasidi
ratinawati@bharian.com.my
2010/08/18

KEJUTAN budaya dan sikap tidak bertanggungjawab dipercayai menjadi punca 112,132 pelajar gagal mendapat keputusan nilai purata gred kumulatif (GPA) 2.0 sehingga pinjaman pelajaran mereka terpaksa ditahan seperti didedahkan Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Datuk Dr Mohamad Shahrum Osman, baru-baru ini.

Pencapaian di bawah GPA 2.0 tidak dapat diterima terutama bagi pelajar sepenuh masa, apatah lagi di institusi pengajian tinggi swasta (IPTS). Bukan sukar mendapat GPA 2.0 jika mereka menumpukan perhatian ketika di dewan kuliah.

Klik di sini untuk berita lanjut.

Antara faktor lain yang menyebabkan kegagalan pelajar tersebut adalah :

1. Budaya di sekolah menengah yang mana pelajar mengharap sepenuhnya bantuan guru.

2. Diri sendiri, tidak mempunyai disiplin diri yang tinggi dalam merancang pembelajaran.

3. Tidak memberikan tumpuan penuh terhadap pengajaran pensyarah.

4. Godaan hiburan dan kebebasan, sesetengah pelajar yang jauh dari pengamatan keluarga merasa bebas melakukan apa saja.

5. Tahap keyakinan yang lemah mungkin disebabkan oleh keputusan yang rendah semasa SPM.

Posted in education | Tagged: , , | 1 Comment »

PERMOHONAN ONLINE UITM SESI DISMBER 2010

Posted by Cikgu Awang on August 17, 2010

PERMOHONAN KEMASUKAN PELAJAR BARU
PROGRAM SEPENUH MASA PRA DIPLOMA, ASASI, DIPLOMA, IJAZAH SARJANA MUDA, SERTA
PROGRAM PROFESIONAL (SEPENUH MASA / SEPARUH MASA)
SESI DISEMBER 2010 DIBUKA
MULAI 16 OGOS 2010 JAM 12 TENGAH HARI

KLIK DI SINI

Posted in Uncategorized | Leave a Comment »

Posted by Cikgu Awang on August 13, 2010

Penggunaan kamus secara berterusan secara tidak langsung dapat meningkatkan penguasaan bahasa seseorang. Kekerapan membuat semakan akan dapat membuatkan kita dapat mengingati makna dan maksud sesuatu perkataan dengan lebih mudah, khususnya dalam bahasa asing. Namun demikian, untuk membawa kamus ke sana dan ke sini adalah meremehkan bagi kebanyakan orang. Bagi pengguna komputer, khususnya internet saban hari kita akan terjumpa dengan perkataan-perkataan baru ketika sedang melayari internet. Sayangnya kita tidak dapat memanfaatkan penemuan perkataan-perkataan baru tersebut untuk menambahkan perbendaharaan kata dan penguasaan bahasa kita. Ini disebabkan remehnya hendak membuat semakan di dalam kamus kerana kita terpaksa melakukan 2 kerja dalam satu masa – mengendalikan komputer dan membuat semakan di dalam kamus buku.

Menyedari hakikat ini sebuah syarikat Bumiputera, iaitu Alaf Teras telah memperkenalkan perisian e-Kamus pertama pada tahun  2000. Kini setelah 10 tahun berkecimpung membangunkan perisian e-kamus, e-Kamus 5.02 adalah merupakan versi paling terkini dan sofistikated dengan kemampuan mencari makna perkataan secara gerakan tetikus dan juga dwiklik. Ini adalah fungsi yang menarik di mana pengguna tidak perlu menaip huruf untuk mendapatkan makna sesuatu perkataan – cukup dengan gerakan tetikus atau dwilik pengguna akan melihat makna perkataan dengan hampir serta-merta di tetingkat khas e-Kamus 5.02 yang muncul. Pada masa yang sama pengguna dapat menentukan sendiri jenis kamus yang mereka ingin guna setiap kali menghidupkan perisian.

Perisian e-kamus 5.02 turut didatangkan dengan pelbagai pilihan jenis kamus yang semestinya menepati keperluan anda. Pada masa ini terdapat 17 jenis kamus yang anda boleh gunakan termasuk kamus-kamus istilah. Selain daripada itu perisian e-Kamus 5.02 juga mempunyai mempunyai penyemak ejaan Bahasa Melayu yang akan dapat berintegrasi dengan MS Words apabila perisian ini dipasang di komputer anda. Penyemak ejaan ini akan menandakan perkataan yang tersalah eja dan akan memberikan perkataan-perkatan cadangan. Jika anda seorang yang kerap menaip dan menyediakan dokumen dalam Bahasa Melayu, e-Kamus 5.02 juga adalah merupakan pilihan yang tepat untuk anda.

Maklumat lanjut mengenai perisian e-Kamus 5.02 boleh didapati di laman web E-Kamus-Malaysia.com. Anda juga boleh terus ke laman web tersebut dengan mengikuti pautan di bawah ini.

Laman web: http://e-kamus-malaysia.com

Catatan oleh: Awang Shukri Awang Suut

Posted in education | Tagged: , | Leave a Comment »

Buang Bayi : Di siasat mengikut kanun keseksaan

Posted by Cikgu Awang on August 13, 2010

Kes buang bayi disiasat mengikut Kanun Keseksaan: Shahrizat

2010/08/12

KUALA LUMPUR: Kabinet bersetuju kes pembuangan bayi tidak lagi disiasat mengikut Seksyen 31 Akta Kanak-Kanak, sebaliknya mengikut Seksyen 302 dan 304, Kanun Keseksaan. Klik untuk berita lanjut.

Ini bermaksud jika didapati bersalah dalam pembuangan bayi maka individu tersebut akan disiasat sebagai cubaan membunuh atau sekiranya dengan niat sebagai kes bunuh yang boleh di hukum gantung.

Secara peribadi, cikgu sangat bersetuju dengan langkah ini. Mengenakan denda yang amat berat (hukuman gantung) wajar jika kita mengambil kira kewarasan seseorang. Tindakan membuang bayi adalah tindakan yang amat kejam, seperti zaman jahiliah. Tiada alasan yang munasabah seorang bernama manusia sanggup berbuat demikian. Walau bagaimanapun tekanan di saat itu kita sebagai manusia waras tidak dapat menerimanya.

“Terlajak perahu dapat diundur, terlajak perbuatan buruk padahnya”. Oleh itu sesiapa saja (lelaki atau wanita) haruslah memikirkan kesan pada masa hadapan bukannya memikirkan keseronokan yang hanya seketika. Langkah lain yang mungkin boleh diambil oleh masyarakat dan kerajaan adalah :

1. Menyediakan tempat perlindungan kepada wanita yang mengandung tanpa kerelaan atau mengandung kerana perbuatan khianat.

2. Masyarakat bersifat terbuka dengan memberi peluang kepada individu tersebut bukannya memulau atau menghukum mereka.

3. Kerapkan kempen ke akar umbi terutama di sekolah dan remaja lepasan sekolah.

4. Peranan kaunselor haruslah diberi perhatian. Penubuhan pusat khidmat nasihat (diketuai kaunselor) dapat membimbing remaja dari bertindak di luar batasan.

5. Paling utama adalah penerapan nilai murni dan agama. Agama tiang pelindung yang membina benteng manusia daripada melakukan perkara yang dimurkai Allah.

Wassalam.

Posted in education | Tagged: , , , | Leave a Comment »

TIPS ULANGKAJI PELAJARAN (PENGAJIAN AM)

Posted by Cikgu Awang on August 13, 2010

TIPS MENGULANGKAJI PENGAJIAN AM (KERTAS 1)

Majoriti pelajar mengeluh mengenai cara terbaik untuk mengulangkaji Kertas 1 (Kenegaraan). Apabila ditanya cara/teknik pelajar membuat ulangkaji, kebanyakan pelajar akan mengatakan mereka membuat ulangkaji dengan cara membaca (pembacaan semata-mata) sebelum peperiksaan. Pelajar meluangkan masa beberapa jam membaca kenegaraan. Dan apabila di tanya lebih lanjut lagi tahap pemahaman mereka. Mereka menjawab hanya sedit sahaja yang difahami. Kaedah ini didapati tidak berapa berkesan. Oleh itu satu cara terbaik perlu di kaji untuk membantu pelajar meningkatkan pemahaman dan seterusnya mendapat keputusan yang baik.

SEBAB PELAJAR MENDAPAT MARKAH RENDAH DALAM K1..

Pelajar Tidak tahu – Ini bermakna persediaan anda belum mencukupi.
Penyelesaian: Peruntukkan masa yang sewajarnya untuk anda menguasai tajuk-tajuk tersebut.

Pelajar Tidak faham – Anda baca tetapi tidak faham.
Penyelesaian: Minta bantuan. Bertanyalah kepada guru atau rakan anda.

Pelajar Keliru – Anda tidak dapat memahami dengan jelas apa yang anda ingin pelajari atau fahami.
Penyelesaian: Tanyakan guru tentang bentuk soalan yang mengelirukan anda. Minta penjelasan dari guru sebelum hari peperiksaan agar kesilapan yang sama tidak berulang.

Pelajar Lupa – Ini disebabkan anda kurang mengulangi atau mengulangkaji apa yang telah anda pelajari.
Penyelesaian: Kerapkan ulangkaji.

Pelajar Cuai – Anda tidak teliti semasa membaca soalan terutama soalan pengiraan. Kesilapan mengira menyebabkan pelajar kecewa.
Penyelesaian: Pastikan anda mengikuti langkah-langkah penting dalam Strategi Menjawab Soalan. Pastikan anda benar-benar sudah memahami kehendak soalan sebelum menjawab.

“STUDY SMART NOT STUDY HARD”      “STUDY SMART DAN HARD”

Oleh itu pelajar harus BIJAK  memilih kaedah yang sesuai dalam membuat ulangkaji. Pelbagai teknik di ajar di sekolah untuk para pelajar cara membuat ulangkaji, Cuma mungkin pelajar lupa atau tidak mengamalkannya. Jadi cikgu cuma membantu pelajar mengingat semula teknik tersebut.

MENGULANGKAJI DENGAN BIJAK …
PERKARA RUTIN PELAJAR BUAT

Antara perkara-perkara yang anda harus lakukan dalam proses mengulangkaji adalah:

  1. Membaca dan menyemak nota-nota bahan-bahan pelajaran sambil melengkapkan yang kurang. Ini akan memantapkan kefahaman dan ingatan anda terhadap subjek berkenaan.
  2. Membaca buku teks. Tujuannya untuk memastikan anda benar-benar faham setiap prinsip, isu dan fakta yang dimuatkan.
  3. Menjawab soalan-soalan latihan atau kerja rumah yang guru berikan. Ini akan membolehkan anda menguji kebolehan anda menjawab soalan yang sama dalam peperiksaan.
  4. Mengkaji contoh-contoh jawapan peperiksaan tahun lepas bersama skEma jawapan. Ini akan membolehkan anda membiasakan diri menjawab soalan-soalan peperiksaan dengan lebih yakin dan pantas.
  5. Bersoal jawab bersama-sama rakan. Selain ini membolehkan anda mengenalpasti sama ada anda sudah cukup bersedia atau tidak menghadapi peperiksaan, pada masa yang sama, anda juga boleh mendapat penjelasan tentang bahagian-bahagian yang anda kurang faham dari rakan anda yang mungkin sudah menguasai bahan pelajaran itu.

PERKARA PELAJAR JARANG BUAT

  • Buat jadual ulangkaji

Jadualkan juga masa berehat untuk mengurangkan ketegangan. Dalam mengulangkaji pelajaran, anda hendaklah berehat setiap 20 hingga 30 minit. Waktu rehat sekurang-kurangnya 5 minit. Selang-selikan topik mudah dengan susah dan juga pengiraan untuk mengurangkan ketegangan.

  • Sediakan nota-nota ringkas, terutamanya bagi topik yang dijangka akan keluar. Nota ringkas mudah di simpan dalam kocek dan di bawa ke mana-mana.
    • Peta minda meringkaskan topik dipelajari dalam bentuk “point”. Memudahkan pelajar membuat ulangkaji.
    • Tumpukan pada topik utama sahaja. Tanya guru anda untuk mendapatkan “hint” (bayangan) tentang topik yang mungkin akan disoal di dalam peperiksaan.
    • Semak contoh-contoh soalan tahun-tahun yang lalu supaya anda dapat menjangka bentuk jawapan yang diperlukan.
    • Buat rangka jawapan topik-topik yang dijangka keluar berdasarkan soalan-soalan peperiksaan yang lepas.
    • Latih diri anda menjawab soalan-soalan peperiksaan yang lepas mengikut waktu yang telah ditetapkan.
    • Rujuk kepada guru apabila menghadapi masalah berhubung dengan pelajaran.
    • Jangan sekali-kali ponteng kelas ketika hampir peperiksaan. Anda mungkin tertinggal tip-tip penting yang diberikan oleh guru atau pensyarah anda.

Tempoh Mengulangkaji (Pecutan Akhir)
Adalah mustahil untuk menyatakan dengan tepat jumlah masa yang perlu diperuntukkan untuk mengulangkaji kerana kemampuan seseorang itu berbeza. Ada pakar yang mengatakan bahawa masa mengulangkaji perlu dilakukan selama 3 bulan. Ada pula yang berpendapat selepas peperiksaan percubaan kerana anda telah menamatkan tempoh belajar bagi menghadapi peperiksaan percubaan. Yang lain pula mengatakan selama 3 minggu. Ada juga yang berpendapat mengulangkaji secara ringkas setiap minggu akan menambahkan keyakinan seseorang itu menghadapi peperiksaan. Tetapi, sebagai panduan, 6 hingga 8 minggu di saat terakhir peperiksaan merupakan tempoh yang baik untuk memulakan proses mengulangkaji. Namun, bagi pelajar yang lemah hendaklah proses mengulangkaji pecutan akhir ini dibuat lebih awal daripada yang disarankan di atas.

Anda mungkin perlu membuat ulangkaji beberapa kali sehinggalah anda benar-benar dapat menguasai setiap mata pelajaran anda.

UJI DIRI PELAJAR.
Anda haruslah menilai sejauh mana anda dapat menjawab soalan-soalan peperiksaan.

Berikut ini dipaparkan beberapa cara di mana anda boleh menilai serta memperbaiki keupayaan anda menjawab soalan-soalan dalam peperiksaan.

1. Penilaian Dari Ujian dan Latihan
Ujian / Peperiksaan yang dijalankan dalam kelas merupakan satu bentuk penilaian terhadap kefahaman dan keupayaan anda menjawab soalan-soalan peperiksaan yang sebenar. Berdasarkan keputusan ujian / peperiksaan tersebut, anda akan dapat mengetahui tahap penguasaan anda terhadap mata pelajaran-mata pelajaran anda. Melalui keputusan ujian tersebut, anda boleh memperbaiki segala kelemahan anda bagi menghadapi peperiksaan yang sebenar dengan jayanya.

2. Penilaian Dari Contoh Jawapan
Anda juga boleh menguji tahap keupayaan anda dengan menjawab soalan-soalan contoh jawapan. Selepas anda menjawab soalan contoh jawapan, bandingkan jawapan anda dengan contoh jawapan. Kenalpasti di manakah kelemahan anda dan buat pembaikan sewajarnya.

3. Penilaian Secara Lisan
Contohnya, seorang pelajar menyoal kawannya dan meminta beliau menghuraikan secara lisan sehingga yang satu pihak lagi berpuas hati.

KENAL PASTI KELEMAHAN DAN PERBAIKI

Mencari Sebab (Post-Mortem)
Anda perlu mengkaji kelemahan anda setiap kali anda selesai menjawab soalan-soalan ujian. Setelah anda selesai membuat latihan ujian, semak setiap jawapan yang anda buat. Sekiranya jawapan anda salah, lakukan ‘post-mortem‘ (suatu proses mencari sebab kelemahan dan kekuatan). Setiap kesilapan ada sebab-sebabnya dan ini merupakan perkara utama yang perlu anda atasi.

Umumnya, kelemahan-kelemahan anda boleh diatasi dengan:-

  • Segera / selalu bertanya kepada guru/rakan tentang masalah anda dalam pelajaran.
  • Mendapatkan jawapan-jawapan yang betul bagi jawapan yang salah.
  • Mengulangkaji dan membaca nota-nota anda dengan kerapkali.
  • Memahirkan diri dengan teknik menjawab soalan berpandukan contoh jawapan.

Posted in education | Tagged: , , , | 1 Comment »

Ramadhan AlMubarak

Posted by Cikgu Awang on August 10, 2010

Assalamualaikum dan salam 1Malaysia….

Menjelang Ramadhan ini, cikgu ingin mengucapkan selamat berpuasa kepada anak didik cikgu di SMK ST Joseph Kuching khasnya dan seluruh pelajar amnya. Semoga Ramadhan ini menjadikan para pelajar lebih berusaha untuk meningkatkan prestasi seterusnya bersedia menghadapi peperiksaan yang bakal menjelang.

Wassalam.

Posted in isu semasa | Tagged: , | Leave a Comment »