Pengajian Am

Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia

Longgar syarat tambahan KPLI

Posted by Cikgu Awang on March 26, 2010

Longgar syarat tambahan KPLI
Oleh Sazarina Shahrim
sazarina@bharian.com.my
2010/03/26

Kementerian Pelajaran sasar lebih ramai graduan berkelayakan ambil MTest

PUTRAJAYA: Kementerian Pelajaran memberi kelonggaran dalam syarat tambahan yang ditetapkan kepada pemohon Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) bagi membolehkan lebih ramai diberi peluang mengambil Ujian Calon Guru Malaysia (MTest) sesi kedua yang diadakan esok.

Pengarah Bahagian Pendidikan Guru, Dr Zahri Aziz, berkata MTest kedua yang akan diduduki kira-kira 22,000 calon itu memberi peluang kepada pemohon yang mempunyai pengalaman mengajar sebagai guru sandaran tidak terlatih tetapi tidak mempunyai purata nilai gred kumulatif (CGPA) 2.75 ke atas pada peringkat sarjana muda. “Bagi mereka yang mempunyai pengalaman mengajar sebagai guru sandaran tidak terlatih, tidak kira walaupun hanya mempunyai setahun pengalaman dan tidak mencapai CGPA 2.75, kita tetap beri peluang kepada mereka untuk mengambil ujian berkenaan.

“Ini bagi memastikan peluang dan ruang yang lebih terbuka diberikan kepada pemohon,” katanya kepada Berita Harian di sini, semalam.

MTest sesi pertama yang membabitkan 34,849 calon dilakukan pada 13 Mac lalu di 27 institut pendidikan guru (IPG) dan 107 sekolah seluruh negara manakala MTest sesi kedua pula akan dilakukan di 27 IPG dan 68 sekolah, tidak lama lagi.

Berdasarkan keputusan MTest itu, calon yang layak akan dipanggil temu duga sebelum dipilih mengikuti kursus berkenaan.
Kementerian Pelajaran menerima lebih 68,000 permohonan, namun hanya 1,898 yang akan terpilih mengikuti program berkenaan Jun depan.

Berikutan permohonan yang tinggi itu berbanding jumlah tempat yang ditawarkan, kementerian mengetatkan syarat kemasukan termasuk mempunyai sarjana muda dengan CGPA 2.75 ke atas selain syarat asas mendapat kredit Bahasa Melayu dan lulus Bahasa Inggeris.

Zahri turut memberi jaminan bahawa MTest yang dijalankan itu telus untuk mencari calon yang benar-benar layak membimbing murid.

“Mtest dibuat oleh pensyarah universiti dan institut pendidikan guru yang dilakukan secara saintifik. Kita tidak boleh persoalkan kesahihan instrumen yang digunakan dalam ujian itu,” katanya.

Sebelum ini, beberapa pihak termasuk pembaca Berita Harian menyuarakan rasa tidak puas hati mengenai Mtest yang dikatakan tidak telus dan ada yang membuat aduan tidak terpilih mengambil ujian berkenaan walaupun menepati kriteria yang ditetapkan.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: