Pengajian Am

Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia

Archive for March, 2010

Longgar syarat tambahan KPLI

Posted by Cikgu Awang on March 26, 2010

Longgar syarat tambahan KPLI
Oleh Sazarina Shahrim
sazarina@bharian.com.my
2010/03/26

Kementerian Pelajaran sasar lebih ramai graduan berkelayakan ambil MTest

PUTRAJAYA: Kementerian Pelajaran memberi kelonggaran dalam syarat tambahan yang ditetapkan kepada pemohon Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) bagi membolehkan lebih ramai diberi peluang mengambil Ujian Calon Guru Malaysia (MTest) sesi kedua yang diadakan esok.

Pengarah Bahagian Pendidikan Guru, Dr Zahri Aziz, berkata MTest kedua yang akan diduduki kira-kira 22,000 calon itu memberi peluang kepada pemohon yang mempunyai pengalaman mengajar sebagai guru sandaran tidak terlatih tetapi tidak mempunyai purata nilai gred kumulatif (CGPA) 2.75 ke atas pada peringkat sarjana muda. “Bagi mereka yang mempunyai pengalaman mengajar sebagai guru sandaran tidak terlatih, tidak kira walaupun hanya mempunyai setahun pengalaman dan tidak mencapai CGPA 2.75, kita tetap beri peluang kepada mereka untuk mengambil ujian berkenaan.

“Ini bagi memastikan peluang dan ruang yang lebih terbuka diberikan kepada pemohon,” katanya kepada Berita Harian di sini, semalam.

MTest sesi pertama yang membabitkan 34,849 calon dilakukan pada 13 Mac lalu di 27 institut pendidikan guru (IPG) dan 107 sekolah seluruh negara manakala MTest sesi kedua pula akan dilakukan di 27 IPG dan 68 sekolah, tidak lama lagi.

Berdasarkan keputusan MTest itu, calon yang layak akan dipanggil temu duga sebelum dipilih mengikuti kursus berkenaan.
Kementerian Pelajaran menerima lebih 68,000 permohonan, namun hanya 1,898 yang akan terpilih mengikuti program berkenaan Jun depan.

Berikutan permohonan yang tinggi itu berbanding jumlah tempat yang ditawarkan, kementerian mengetatkan syarat kemasukan termasuk mempunyai sarjana muda dengan CGPA 2.75 ke atas selain syarat asas mendapat kredit Bahasa Melayu dan lulus Bahasa Inggeris.

Zahri turut memberi jaminan bahawa MTest yang dijalankan itu telus untuk mencari calon yang benar-benar layak membimbing murid.

“Mtest dibuat oleh pensyarah universiti dan institut pendidikan guru yang dilakukan secara saintifik. Kita tidak boleh persoalkan kesahihan instrumen yang digunakan dalam ujian itu,” katanya.

Sebelum ini, beberapa pihak termasuk pembaca Berita Harian menyuarakan rasa tidak puas hati mengenai Mtest yang dikatakan tidak telus dan ada yang membuat aduan tidak terpilih mengambil ujian berkenaan walaupun menepati kriteria yang ditetapkan.

Advertisements

Posted in education | Tagged: | Leave a Comment »

PLKN berjaya tingkat nilai patriotisme remaja

Posted by Cikgu Awang on March 11, 2010

Dipetik daripada Utusan Malaysia, Khamis 11 Mac 2010.

KUALA LUMPUR 10 Mac – Penyertaan remaja di dalam Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) telah berjaya meningkatkan semangat patriotisme di kalangan mereka sehingga mencapai tahap 85 peratus.

Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Datuk Abdul Hadi Awang Kechil berkata, nilai patriotik yang dipupuk melalui empat teras modul PLKN itu meningkat saban tahun dan kini semakin memuaskan.

“Peningkatan nilai patriotisme tersebut turut disumbangkan oleh program tambahan seperti pertandingan penghayatan patriotisme yang dianjurkan dengan kerjasama RTM,” katanya selepas menyaksikan pertandingan penghayatan patriotisme pelatih PLKN kumpulan 1 siri 7/2010 di Angkasapuri di sini malam ini.

Turut hadir, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin.

Abdul Hadi memberitahu, kajian mengenai keberkesanan empat modul latihan program PLKN sedia ada telah siap dijalankan dan akan dibentangkan kepada Menteri Pertahanan hujung bulan ini.

Beliau menambah, jika perlu, hasil kajian tersebut juga akan dibawa kepada jemaah menteri.

Sementara itu, pelatih dari Zon D yang diwakili peserta Melaka dan Negeri Sembilan muncul juara pertandingan penghayatan patriotisme malam ini.

Mereka membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000.

Tempat kedua pula disandang oleh pelatih dari zon A yang mewakili Kedah dan Perlis, sekali gus membawa pulang RM2,000.

Posted in isu semasa | Tagged: , | Leave a Comment »

Malaysia ‘negara tua’ pada 2035

Posted by Cikgu Awang on March 10, 2010

Dipetik daripada Utusan Malaysia, 10 Mac 2010.
 
Oleh ROKIAH ABDULLAH
rokiah.abdullah@utusan.com.my

 

PULAU PINANG 9 Mac – Malaysia dijangka menjadi ‘negara tua’ dalam tempoh 25 tahun akan datang apabila penduduk berusia 60 tahun ke atas mencecah 15 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduknya.

Pengarah Bahagian Warga Tua dan Keluarga Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) , Mohd. Hafizal Mohd. Salleh berkata, statistik Jabatan Perangkaan menunjukkan jumlah warga emas meningkat dua kali ganda antara 2010 hingga 2035.

Menurutnya, bilangan warga emas di Malaysia ketika ini adalah 1.8 juta orang atau tujuh peratus daripada jumlah penduduk tetapi ia dijangka meningkat kepada 3.4 juta orang atau 10 peratus menjelang tahun 2020 dan terus meningkat 5.1 juta orang atau 15 peratus pada 2035.

“Pertambahan tersebut berlaku kesan kesedaran masyarakat berkaitan aspek penjagaan kesihatan sehingga berjaya meningkatkan jangka hayat daripada 55 tahun selepas merdeka kepada 75 tahun pada masa kini.

“Peningkatan jumlah warga emas cabaran kepada kerajaan dalam menyediakan kemudahan terutama infrastruktur, perumahan, perubatan dan kesihatan,” katanya.

Beliau bercakap pada sidang akhbar selepas merasmikan seminar Kasih Sayang Antara Generasi Membanteras Penganiayaan Sesama Insan anjuran Persatuan Gerontologi Malaysia (GeM) di sini hari ini.

Persidangan sehari yang dihadiri kira-kira 280 peserta itu dianjurkan dengan kerjasama JKM, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) serta Jabatan Pembangunan Wanita (JPW).

Mohd. Hafizal memberitahu, sehingga kini terdapat antara 300 hingga 400 orang daripada 2,000 warga emas yang berada di JKM mempunyai waris dan anggota keluarga.

Namun apa yang menyedihkan, kata beliau, waris atau anggota keluarga warga emas berkenaan tidak mahu menjaga golongan tersebut.

“Saya tidak tahu mengapa. Mungkin inilah kesannya jika kasih sayang antara ahli dalam keluarga dan generasi tidak dipupuk dalam diri masing-masing,” katanya.

Posted in isu semasa | Leave a Comment »

Jawatankuasa banteras jenayah kolar putih

Posted by Cikgu Awang on March 10, 2010

Dipetik daripada Utusan Malaysia, 10 Mac 2010.

Jawatankuasa banteras jenayah kolar putih ditubuhkan – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR 9 Mac – Sebuah jawatankuasa khas dianggotai empat agensi kerajaan ditubuhkan dalam usaha membanteras jenayah kolar putih yang semakin berleluasa ketika ini.

Agensi tersebut adalah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Bank Negara Malaysia (BNM), Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman dan Suruhanjaya Sekuriti (SC).

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan, tujuannya bagi memastikan kerjasama antara agensi terlibat diselaraskan dan tiada pertindihan fungsi dalam menyiasat sesuatu kes yang dirujuk.

Katanya, proses penyiasatan sebelum ini dilakukan sendirian oleh sebuah agensi dan mengambil masa agak lama.

“Jika penyiasatan telah dirujuk kepada SSM dan mendapati diluar bidang kuasanya, pihak lain terpaksa mengambil kes itu dan perlu dimulakan semula.

“Ia seperti menembak seekor burung dengan menggunakan tiga peluru walaupun hanya memerlukan satu peluru saja,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Pertama Jawatan Kuasa Khas Membanteras Jenayah Kolar Putih di sini hari ini.

Melalui jawatankuasa khas ini, satu jawatankuasa kerja akan dibentuk dan dipengerusikan ketua pegawai eksekutif SSM, Datuk Azmi Ariffin yang mana setiap agensi akan diwakili pegawai masing-masing dalam bidang siasatan.

Dalam jawatankuasa kerja ini, semua agensi akan bertukar maklumat serta kepakaran menyiasat sesebuah kes supaya prosesnya lancar dan diselesaikan dengan segera.

Seterusnya, laporan siasatan akan dibawa kepada mesyuarat jawatankuasa khas yang diadakan setiap tiga bulan.

Ismail Sabri memberitahu, jawatankuasa ini juga akan mempelawa Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) untuk menjadi anggota kerana terdapat juga kes jenayah kolar putih berlaku dalam koperasi.

“Koperasi melibatkan ahli yang ramai dan sebarang penyalahgunaan kuasa memberi kesan yang besar kepada komuniti koperasi tersebut,” jelasnya.

Pada masa sama, beliau menafikan penubuhannya adalah disebabkan kegagalan dan ketiadaan kerjasama antara agensi dalam menyelesaikan kes yang dirujuk.

“Siasatan masih dijalankan, tetapi ia secara mengejut dan ini boleh memberi kesan terhadap keputusan siasatan,” katanya.

Tambahnya, jawatan kuasa ini akan turut mengadakan pelbagai program seperti kempen kesedaran, kursus kepada pegawai dan pelbagai lagi untuk memantapkan peranannya dalam mencapai matlamatnya.

Posted in isu semasa | Tagged: | Leave a Comment »

Berjuta-juta virus ancam komputer

Posted by Cikgu Awang on March 9, 2010

Antivirus gagal kesan, kawal gangguan

KUALA LUMPUR: Jika anda rasa komputer anda dan datanya benar-benar selamat dengan sentiasa mengemaskini perisian antivirus, anda sebenarnya salah, kata seorang pakar virus komputer.

Naib Presiden Symantec Hosted Services Group (Asia-Pacific and Japan) Bjorn Engelhardt, berkata ada berjuta-juta virus dan spam yang dikeluar dan dimasukkan dalam internet serta mustahil untuk mana-mana program antivirus mengesan dan mengawal malware yang menyebabkan gangguan kepada komputer dan datanya.

“Inilah sebabnya kenapa anda perlu mengawasi aliran dalam internet. Dengan menggunakan kaedah ini anda boleh mengesan sebarang kemasukan data yang tidak biasa dan mengambil tindakan segera jika anda dapati sesuatu yang luar biasa.

“Perisian antivirus bertindak balas untuk virus dan spam yang dikenal. Apa yang kita bimbang ialah mengenai malware iaitu sesuatu yang baru… mereka dicipta dalam jumlah berjuta setiap hari. Sebagai contoh seseorang menghantar anda e-mel dengan alamat laman web dan anda klik ke atasnya.

“Walaupun komputer anda tidak rosak pada masa anda membuka laman web itu, malware akan masuk sendiri ke dalam komputer anda, mengambil semua data dan menghantar semula kepada orang yang memasukkan malware itu,” katanya dalam satu temu bual, di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Beliau berkata, komputer yang rosak akibat virus dilihat seperti ketinggalan zaman dan trend sekarang ialah memasukkan malware oleh spam melalui e-mel dan ‘mencuri’ maklumat peribadi pengguna untuk tujuan yang salah. Pasaran Asean dan China kini adalah sasaran utama aktiviti seumpama itu.

Katanya, laporan analisis Symantec menunjukkan pertambahan tahap spam pada Februari tahun ini sehingga 89.4 peratus, iaitu meningkat sebanyak 5.5 peratus sejak Januari.

Ketika jumlah spam meningkat pada Februari, saiz mesej spam menurun serentak dengan jumlah e-mel spam yang mengandungi lampiran.

Sepanjang tahun lalu, jumlah lampiran turun daripada 10 peratus pada April 2009 kepada kurang satu peratus pada Februari 2010, manakala purata saiz fail e-mel spam turun daripada 5Kb pada Oktober 2009 kepada 3.3Kb pada Februari 2010.

Daripada melampirkan imej secara terus kepada e-mel, penghantar spam kini memilih untuk menganjurkan imej secara talian dengan menawarkan perkhidmatan percuma dan mengurangkan purata saiz fail e-mel spam, katanya.

Pada Februari lalu, Engelhardt berkata, nisbah global spam dalam trafik e-mel daripada sumber baru dan sumber tidak baik yang tidak diketahui ialah 89.4 peratus, iaitu satu dalam 1.12 e-mel, menunjukkan kenaikan sebanyak 5.5 peratus berbanding Januari.

Nisbah global virus dari e-mel dalam aliran e-mel daripada sumber baru dan sumber jahat yang tidak diketahui sebelum ini ialah satu dalam 302.8 e-mel atau 0.33 peratus pada Februari 2010, meningkat 0.02 peratus sejak Januari.

Pada Februari, 30.5 peratus dari e-mel yang mengandungi malware mempunyai kaitan dengan laman web yang tidak baik, meningkat sebanyak 17.3 peratus sejak Januari 2010. – Bernama

Posted in isu semasa | Leave a Comment »