Pengajian Am

Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia

Archive for July, 2009

SEMAKAN KEPUTUSAN PERMOHONAN KEMASUKAN KE IPTA

Posted by Cikgu Awang on July 10, 2009

Semakan Keputusan Permohonan Kemasukan Ke IPTA Program Pengajian Lepasan STPM/Matrikulasi/Setaraf sesi Akademik 2009/2010

klik di sini

atau
Semakan juga boleh dibuat melalui SMS
Caranya :
Taip UPU NOKP/NO LEMBAGA
dan hantar kepada 32300 atau 33310 atau 32020

Posted in education | 3 Comments »

isu semasa : Pemansuhan PPSMI 2012

Posted by Cikgu Awang on July 10, 2009

Berita Harian , 10 Julai 2009.

Masa subjek lain dipendekkan untuk mantap Bahasa Inggeris

PUTRAJAYA: Kementerian Pelajaran semalam menjelaskan waktu persekolahan tidak akan dipanjangkan walaupun masa pengajaran dan pembelajaran subjek Bahasa Inggeris (BI) ditambah.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, sebaliknya berkata masa pembelajaran sesetengah subjek akan dipendekkan dalam pelaksanaan strategi baru untuk memartabatkan Bahasa Malaysia (BM) dan memantapkan BI.

Beliau memberi contoh waktu pembelajaran muzik antara yang akan dipendekkan dan masa berkenaan dipindahkan kepada pengajaran BI.

“Pelajar tidak akan terbeban dengan pelaksanaan ini, malah waktu persekolahan tidak dilanjutkan,” katanya pada sidang media di pejabatnya, di sini. Kelmarin, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains di sekolah kebangsaan akan dilaksanakan semula dalam BM, manakala di sekolah jenis kebangsaan Cina serta Tamil dalam bahasa ibunda masing-masing mulai 2012.

Berikutan itu, BI akan dimantapkan dengan pertambahan waktu pembelajaran subjek berkenaan.

Mengenai penyediaan buku teks terutama bagi pelajar yang telah mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam BI (PPSMI), Alimuddin berkata, ia mungkin dicetak dalam dwi-bahasa untuk mengelakkan timbul masalah di kalangan pelajar.

Beliau juga berkata, setakat ini kementerian belum membuat keputusan berhubung cadangan melaksanakan peraturan mewajibkan pelajar lulus BI dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Bagaimanapun, katanya, melalui ribuan e-mel dan maklum balas yang diterima setakat ini, 80 peratus menyatakan persetujuan berhubung perkara itu tetapi dengan syarat kementerian mesti menyediakan guru BI terlatih serta kemudahan pembelajaran yang efisien.

Mengenai pengambilan lebih 13,000 guru BI termasuk 600 yang sudah bersara, Alimuddin berkata, guru bersara boleh memohon terus kepada kementerian dan akan tempatkan di kawasan mereka tinggal supaya tidak perlu berpindah.

“Saya rasa ramai yang akan memohon kalau diberi peluang. Jika mereka ditempatkan di kawasan sendiri, saya rasa kita tidak ada masalah untuk dapatkan 600 orang yang disasarkan,” katanya.

Alimuddin juga berharap ibu bapa menyokong usaha kerajaan memantapkan BI, termasuk menyediakan bahan bacaan di rumah atau menggunakan teknologi, maklumat dan komunikasi.

“Saya cadangkan ibu bapa menyediakan sekurang-kurangnya akhbar berbahasa Inggeris di rumah, majalah, novel atau buku bahasa Inggeris kepada anak-anak,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata kerajaan memperuntukkan kira-kira RM5 bilion untuk memperkasakan pengajaran dan pembelajaran BI di sekolah rendah serta menengah bagi tempoh 2011 hingga 2015.

“Peruntukan itu akan membiayai pelaksanaan pelbagai langkah untuk memantapkan penguasaan BI, termasuk pengambilan guru asing terutama dari United Kingdom dan Australia,” katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen.

Ketika ini, 34,767 guru BI mengajar di sekolah rendah dan menengah seluruh negara.

Mengenai pengambilan guru dari kalangan graduan universiti swasta, Mohd Puad berkata, perkara itu akan dibincang dengan Bahagian Pendidikan Guru, Kementerian Pelajaran supaya ada kolaborasi antara kedua-dua pihak terutama berhubung latihan praktikal.

Mohd Puad berkata, ada juga cadangan supaya kementerian mewujudkan Institut Pendidikan Guru khusus untuk BI dan setakat ini sebuah pusat latihan di Nilai akan menjadi pusat kecemerlangan bagi melahirkan guru pakar dalam bahasa itu.

Mengenai bayaran insentif subjek pendidikan (BISP) berikutan pemansuhan PPSMI, beliau berkata, guru Sains dan Matematik tidak akan menerima bayaran itu mulai 2012 yang berjumlah kira-kira RM40 juta setahun.

Ketika ini, 61,040 guru Matematik mengajar di sekolah rendah dan 26,389 di sekolah menengah, manakala 46,946 guru Sains di sekolah rendah dan 25,781 di sekolah menengah.

“Lebih baik wang yang kita belanjakan bagi PPSMI seperti BISP, digunakan untuk menterjemahkan lebih banyak buku rujukan dalam bahasa Melayu bagi kegunaan pelajar. Institut Terjemahan Negara Malaysia di bawah kementerian ada keupayaan dan pakar yang profesional,” katanya.

Mengulas kekeliruan orang ramai mengenai tempoh tiga tahun bagi memansuhkan PPSMI, Mohd Puad berkata, langkah itu mesti dilaksanakan secara `tertib’ supaya tidak berlaku kejutan.

Beliau berkata, kementerian juga tidak akan mempertimbangkan cadangan supaya PPSMI dilaksanakan pada peringkat sekolah menengah.

Posted in isu semasa | Tagged: , | Leave a Comment »

PONTENG DAN KAFE SIBER (CYBER CAFE)

Posted by Cikgu Awang on July 6, 2009

Dipetik daripada Berita Harian, 05/07/09

Fokus: Ketagih kafe siber

Oleh Basir Zahrom
basir@bharian.com.my


BEBERAPA pelajar lengkap seragam sekolah bermain permainan video dan melayari laman web sosial di sebuah kafe siber di Wangsa Maju, baru-baru ini.

Pelajar dan kanak-kanak bawah umur ponteng sekolah gilakan permainan komputer, web lucah

KEWUJUDAN kafe siber banyak memberi manfaat kepada masyarakat terutama dalam menghambat perkembangan pesat era teknologi maklumat dan komunikasi kini supaya tidak ketinggalan dek arus pembangunan.

Namun kafe siber yang beroperasi 24 jam dan membenarkan pelajar apatah lagi dengan pakaian seragam sekolah serta kanak-kanak berusia bawah 12 tahun memasuki premis itu harus diberi perhatian serius oleh pihak berwajib.
Lebih parah, ada di kalangan bawah umur itu sanggup ponteng sekolah semata-mata untuk menghabiskan masa di kafe siber kerana ketagih antara lain bermain permainan video dan tidak kurang pula melayari web lucah.

Tinjauan Berita Harian di beberapa kafe siber di Cheras dan Wangsa Maju mendapati kanak-kanak bawah 10 tahun juga bebas keluar masuk premis kafe siber lengkap dengan pakaian sekolah tanpa sebarang sekatan dilakukan.

Berdasarkan pemerhatian, kafe siber bercermin gelap menjadi tumpuan pelajar sekolah untuk mengakses kemudahan internet bagi mengelak kegiatan ponteng mereka dihidu guru, ibu bapa dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

SEJURUS tamat sesi persekolahan lokasi pertama pelajar ini adalah kafe siber yang terletak tidak jauh dari sekolahnya di Wangsa Maju.

Umum mengetahui sebelum ini majoriti PBT mengetatkan syarat untuk operasi pusat siber termasuk mengehadkan aktiviti utamanya kepada aktiviti penyebaran dan mendapatkan maklumat melalui internet.

Selain itu pihak berkenaan melarang aktiviti berbentuk hiburan diadakan dan menetapkan masa beroperasi hanya sehingga pukul 12 tengah malam.

Peraturan lain adalah larangan merokok dalam premis dan terhadap pelajar berpakaian seragam sekolah memasuki premis, terutama pada waktu persekolahan.

“Ibarat mencurah air ke daun keladi’ adalah perumpamaan paling tepat bagi menggambarkan kedegilan pelajar sekolah mahupun pihak pengusaha premis yang tidak mengendahkan syarat ditetapkan PBT.

Bagi mendapatkan maklumat lebih lanjut, penulis turut bertanya beberapa pengunjung kanak-kanak yang kerap mengunjungi kafe siber biarpun pada waktu persekolahan.

Seorang yang hanya mahu dikenali sebagai Amran, 16, berkata dia sanggup tidak makan tengah hari semata-mata jimatkan wang perbelanjaan sekolah untuk bermain permainan video dalam talian di kafe siber sambil merokok.

“Saya habis hampir RM5 sehari untuk melayari internet selepas waktu persekolahan dan kadang-kadang saya akan ‘serong’ (ponteng) untuk ke mari,” katanya.

Walaupun mulanya enggan menceritakan perkara sebenar, Amran kemudian memberitahu dia bukan saja datang ke kafe siber untuk bermain permainan video, malah kerap melayari laman web lucah untuk memuat turun gambar atau video pendek.

“Saya sudah ketagih melayari laman web lucah selepas melihat pelanggan yang lebih dewasa melayarinya,” katanya.

Rakannya, Halim, 16, pula menjelaskan ibu bapa dan guru tidak menyedari perbuatannya yang kerap ke kafe siber kerana dalam seminggu, ia hanya sekali dua pada waktu persekolahan.

“Jika pulang lambat ke rumah, saya beritahu ibu bapa ada kelas tambahan dan aktiviti kokurikulum, walhal setiap hari saya dan rakan-rakan ke kafe siber untuk bermain permainan video atau melayari laman web lucah.

“Antara permainan video paling popular ialah ‘Left or Death’, ‘Counter Strike’, ‘Super Dancer Online’, ‘Sudden Attact’, ‘Warcraft Dota’, ‘Half Life’ dan ‘Wolf Team’.

“Saya juga sering melawat laman web sosial bagi golongan dewasa popular iaitu ‘myspace.com’ dan ruang sembang ‘Kampung Chat’ dengan menyamar sebagai orang lebih berumur untuk memikat gadis,” katanya.

Sementara itu, Guru Sekolah Kebangsaan Bangsar, Mohd Haniff Anas, berpendapat polis perlu kerap membuat rondaan, manakala pengusaha kafe siber pula perlu tegas dengan tidak membenarkan pelajar berpakaian seragam sekolah memasuki premis mereka selain menyekat laman web lucah.

“Jika tertangkap pihak sekolah akan beri amaran dan panggil pelajar untuk sesi kaunseling.

“Bagaimana pun agak sukar untuk menentukan sama ada pelajar itu ponteng atau tidak kerana mereka akan menukar pakaian sebelum masuk ke premis, tambahan pula bagi sesi persekolahan berbeza (pagi dan petang).

“Jika hendak mencari maklumat mengenai kerja sekolah, ia boleh dibuat di makmal komputer sekolah kecuali di kawasan pedalaman yang tidak mempunyai kemudahan,” katanya.

Budaya lepak di kafe siber galak pelajar ponteng sekolah

SELAIN ponteng sekolah, banyak lagi kesan sampingan berpunca budaya melepak di kafe siber, kata Penolong Pengarah Unit Kaunseling Sektor Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan Bahagian Sekolah, Kementerian Pelajaran, Raja Mazlan Raja Shahdan.Beliau berkata, pihaknya menerima pelbagai laporan mengenai kegiatan negatif pelajar yang gemar melepak di kafe siber, antaranya merokok, berjudi, memeras ugut, melayari laman web lucah dan hisap dadah.

“Demikian juga pinjam-meminjam wang yang ada kala berlaku pergaduhan kerana masalah mendapatkan belanja untuk berseronok di premis itu.
“Namun apabila pelajar terbabit ditangkap, polis dan sekolah tidak boleh berbuat apa-apa kerana mereka masih di bawah umur.

“Polis tidak akan menggari kerana mereka dikategorikan sebagai pelajar sekolah, manakala bidang kuasa pihak sekolah hanya sehingga pintu pagar sekolah, akhirnya mereka diserahkan kepada ibu bapa,” katanya ketika dihubungi Berita Harian, baru-baru ini.

Raja Mazlan berkata, kebanyakan laporan diterima berlaku di kawasan pinggiran bandar, pekan kecil dan luar bandar yang mana majoriti pelajar tidak mempunyai kemudahan internet di rumah.

Dalam hal ini, beliau menjelaskan pihak sekolah akan membantu pelajar bermasalah dengan memberi bimbingan kaunseling dan bertanya punca utama mengapa mereka melakukan sesuatu kesalahan.

Dalam nada sama, Pengetua Sekolah Menengah Dato Harun, Tanjong Karang, Ruslan Bustani, juga menyatakan antara faktor pelajar ponteng sekolah adalah kerana ke kafe siber.

Sambil menjelaskan ada pelajarnya lebih rela menghabiskan masa berjam-jam di kafe siber berbanding sekolah, beliau berkata;

“Kebanyakan kes membabitkan pelajar dari kelas belakang di mana sebahagian besar mereka bermasalah akademik sejak sekolah rendah lagi, selain buta huruf.

“Mungkin disebabkan tekanan belajar, mereka mengambil jalan mudah dengan ponteng dan menghabiskan masa di tujuh kafe siber berhampiran sekolah ini.

“Selain itu, mereka juga didapati melepak di tempat lain, termasuk tidur di bawah jambatan dan tidak kurang pula melakukan hubungan seks di ladang kelapa sawit sambil merakamnya menggunakan telefon bimbit.”

Katanya, surat amaran kes ponteng dikeluarkan pihak sekolah ada yang sehingga 80 hari setahun, kebanyakannya tidak sampai ke tangan ibu bapa.

“Kami terpaksa menelefon sendiri untuk berjumpa ibu bapa sebelum mendenda pelajar. Begitu pun ada juga ibu bapa yang memenangkan anak mereka, namun selepas melihat surat pengakuan ditandatangani pelajar terbabit, mereka akur,” katanya.

Bagi mengurangkan gejala tidak sihat berpunca melepak di kafe siber, beliau berkata Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolahnya akan sering membuat perjumpaan bukan sekadar membincangkan akademik, malah mengatasi masalah disiplin pelajar.

Posted in education | Tagged: , , , , | Leave a Comment »

Isu Semasa : Ekuiti Nasional Berhad (EKUINAS)

Posted by Cikgu Awang on July 3, 2009

Dipetik daripada Arkib Berita Harian : 01 Julai 2009.

Ekuiti Nasional ditubuh

Oleh MARHAINI KAMARUDDIN
dan ROHANI IBRAHIM

Najib Tun Razak ketika memberikan ucaptama pada Invest Malaysia 2009 di Kuala Lumpur semalam. – Utusan / Mohd. Nazudeen Mahmud


KUALA LUMPUR 30 Jun – Kerajaan hari ini mengumumkan penubuhan Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas), institusi pelaburan baru dengan modal permulaan RM500 juta dan sasaran dana sehingga RM10 bilion.

Ia akan menjadi satu instrumen untuk meningkatkan pegangan ekuiti bumiputera, fungsi yang gagal dilaksanakan oleh Jawatankuasa Pelaburan Asing (FIC) sehingga menyebabkan ia tidak berganjak daripada paras 19 peratus selama 19 tahun.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagaimanapun berkata, Ekuinas berbeza dengan Permodalan Nasional Berhad (PNB) yang memberi tumpuan kepada pelaburan saham amanah.

Sebaliknya, kata beliau, ia adalah dana ekuiti swasta yang akan menumpukan pelaburan di dalam sektor-sektor berpotensi mengalami pertumbuhan tinggi – pelancongan, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), perubatan, minyak dan gas serta bioteknologi.

Perdana Menteri berkata, penubuhan Ekuinas adalah sebahagian daripada pendekatan baru kerajaan untuk memastikan penyertaan bumiputera yang bermakna dan efektif.

“Sehingga hari ini, jumlah penguasaan ekuiti bumiputera hanya sekitar 19.4 peratus, masih jauh ketinggalan berbanding sasaran awal sebanyak 30 peratus.

“Jadi kita ganti FIC dengan satu instrumen baru iaitu Ekuinas yang akan memberi tumpuan untuk meningkatkan pelaburan syarikat bumiputera yang berpotensi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada Invest Malaysia 2009 di sini hari ini. Persidangan itu dihadiri lebih 1,000 pengurus dana dan pemimpin korporat.

Pada 1990, ekuiti bumiputera berada pada tahap 19.3 peratus dan ia hanya meningkat kepada 19.4 peratus pada 2006 yang kekal sehinggalah ke hari ini.

Terdahulu dalam ucapannya, Najib berkata, Ekuinas akan melabur secara bersama dengan dana swasta lain bagi menggalakkan perkongsian tulen dan pendekatan komersial sepenuhnya.

“Justeru penyertaan bumiputera menerusi Ekuinas akan dibuat berasaskan merit,” tegasnya.

Menurut Najib yang juga Menteri Kewangan, sejak 1970, keupayaan profesional bumiputera semakin meningkat dan mereka kini berminat menyumbang serta bersaing secara aktif dalam pekerjaan, pengurusan juga sebagai vendor.

“Kita berharap menerusi pelaburan dana seperti Ekuinas, bumiputera yang berpotensi serta berkemampuan baik akan disokong dan dibantu,” katanya.

Menurut beliau, kerajaan akan menyediakan dana dan melantik pakar untuk menguruskan Ekuinas tidak lama lagi.

Bercakap pada sidang akhbarnya, Perdana Menteri menjelaskan matlamat 30 peratus penyertaan bumiputera dalam pertumbuhan dan pengagihan ekonomi negara masih kekal walaupun syarat pegangan ekuiti dalam syarikat tersenarai oleh Jawatankuasa Pelaburan Asing (FIC) dimansuhkan.

“Apa yang berbeza, kita menganggap (penyertaan 30 peratus bumiputera) ini sebagai sasaran makro. Kita masih komited mewujudkan sebuah negara yang mengamalkan keadilan sosial.

“Apa yang penting, kita tidak mahu sesiapa pun merasa dipinggirkan atau tidak diberi perhatian,” katanya.

Najib berkata, tumpuan kini adalah penyertaan menyeluruh bumiputera dalam semua aspek dan tidak terhad kepada pegangan ekuiti semata-mata.

Posted in education | Leave a Comment »