Pengajian Am

Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia

Archive for April, 2009

Insan Kamil

Posted by Cikgu Awang on April 24, 2009

Berita Harian, Jumaat 24 April 2009

Pelajar perlu berusaha jadi insan kamil

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam mengingatkan golongan pelajar supaya berusaha gigih bukan saja untuk mencapai kecemerlangan dalam bidang aka-demik, malah pada masa sama mengamalkan nilai murni.

Timbalan Perdana Menteri berkata, jika kedua-dua aspek berkenaan dapat digabungkan, ia akan menghasilkan seseorang yang boleh digelar ‘insan kamil’ iaitu mereka yang mempunyai keseimbangan dalam kedua-dua perkara berkenaan.

“Jangan lalai. Beri tumpuan kepada pelajaran. Kalau tidak tahu tanya supaya nanti memperoleh keputusan yang baik dan jadi seorang insan kamil serta timba seberapa banyak ilmu kerana ia tanggungjawab saudara.

“Bukan saja akademik… pelajar perlu beradab, bersopan santun, berpekerti mulia. Inilah teras untuk menjadi negara maju di bawah konsep Satu Malaysia,” katanya kepada 500 pelajar, guru dan kakitangan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Setapak Indah, di sini, semalam.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran meminta pelajar berkenaan bertenang berhubung kejadian tanah mendap yang berlaku di sekolah terbabit kerana ia sebenarnya tidak membabitkan soal keselamatan mereka.

“Saya dan Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi jaminan, soal keselamatan, bangunan dan struktur sekolah ini kuat dan kukuh. Tak perlu bimbang, sekolah masih boleh terus digunakan dan kerja penambahbaikan akan dibuat serta-merta,” katanya.

Turut hadir, Menteri Kerja Raya, Datuk Saziman Abu Mansor dan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk M Saravanan.

Sekolah itu yang dibuka sejak 2001 terus mengalami kejadian retak akibat mendapan membabitkan beberapa bahagian walaupun sudah dibaiki beberapa kali hingga membimbangkan kira-kira 1,400 pelajar, ibu bapa serta guru.

Terdahulu ketika melawat ke Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Bukit Jalil, Kinrara di sini, Muhyiddin berkata kerajaan memperuntukkan kira-kira RM2 juta untuk membina dan memperbaiki bangunan sekolah itu yang sudah uzur.

Beliau berkata, bangunan baru akan dibina di kawasan berhampiran seluas 0.4 hektar yang dilengkapi dengan kemudahan lengkap termasuk beberapa kelas yang mampu menampung kira-kira 200 murid, makmal komputer, perpustakaan dan padang.

“Dijangka sekolah baru ini akan beroperasi awal 2012, kerja pembinaan selama 18 bulan akan dimulakan sebaik saja kerja kontrak dilaksanakan.

“Sekolah ini sudah uzur, berumur lebih 70 tahun dan mempunyai kira-kira 90 murid yang belajar dalam suasana yang tidak selesa,” katanya yang melahirkan perasaan sedih melihat keadaan sekolah itu dalam lawatan pertamanya ke SJKT di negara ini.

Posted in education | 1 Comment »

GENGSTERIME PELAJAR

Posted by Cikgu Awang on April 1, 2009

Dipetik : Berita Harian, 1 April 2009

Kes jenayah babit pelajar meningkat Oleh Nik Sukry Ramli niksukry@bharian.com.my

KUALA LUMPUR: Peningkatan kes jenayah bunuh, rogol, samun, merusuh, mencuri dan lain-lain kesalahan jenayah membabitkan pelajar yang meningkat membimbangkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan. Selain peningkatan dalam kes, jumlah tangkapan pelajar berumur antara 13 hingga 18 tahun juga turut mencatatkan peningkatan berbanding tahun sebelumnya. Musa berkata, sepanjang 2007, 1,836 kes jenayah dilaporkan dengan 3,383 pelajar ditahan, manakala tahun lalu, jumlah kes jenayah meningkat sebanyak 382 kes kepada 2,218 kes dengan 3,725 pelajar ditahan. “Ini satu perkembangan yang merisaukan dan perlukan tindakan segera bagi mencari jalan penyelesaian kepada perkara ini. Gejala ini boleh dibendung jika pelajar diberikan pendedahan, penerangan jelas mengenai kesan dan akibatnya jika terjerumus dalam kegiatan jenayah,” katanya ketika merasmikan Sambutan Ulang Tahun Ke-39 Pasukan Kor Kadet Polis di sini, semalam. Perutusan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Abdul Samah Mat. Musa berkata, kajian Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia dengan kerjasama Pusat Pengajian Psikologi dan Pembangunan Malaysia turut menunjukkan pelajar cenderung untuk terbabit dalam aktiviti kurang sihat seperti mat rempit dan gengsterisme. “Hasil kajian itu menunjukkan 48.1 peratus mat rempit berpunca akibat kebosanan, 38 peratus bertujuan mengisi masa lapang dan 27.8 peratus dipengaruhi kawan. Jadi di sinilah peranan penting boleh dimainkan ahli keluarga dan anggota masyarakat untuk mengelakkan golongan ini tidak terus dibiarkan tanpa diberikan panduan yang betul dalam kehidupan mereka. “Masalah gengsterisme yang dilaporkan semakin menular ke peringkat sekolah juga tidak boleh dipandang remeh. “Unsur negatif semakin mudah menyelinap masuk ke sekolah, justeru saya meminta anggota Kor Kadet Polis yang kini sudah mencecah 89,110 ahli ini menjadi mata dan telinga polis,” katanya. Beliau berkata, Kor Kadet Polis yang dilantik perlu menyalurkan maklumat agar tindakan segera boleh diambil.

Link-link berkaitan jenayah pelajar :

http://http://www.tutor.com.my/tutor/arkib2002.asp?e=UPSR&s=BM&b=JUN&m=3&t=&r=g&i=PNP – 25k –

http://zahirzainudin.blogspot.com/2006/11/peranan-institusi-keluarga-bagi.html – 103k –

http://http://www.pemudaumno.org.my/modules.php?name=News&file=article&sid=2668 – 32k –

Posted in education | Tagged: , , , , | Leave a Comment »