Pengajian Am

Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia

KEMPEN MALAYSIA PERKASA

Posted by Cikgu Awang on February 19, 2009

DIPETIK DARIPADA UTUSAN MALAYSIA, 19/02/09

‘Kempen Malaysia Perkasa’ mulai Mei

KUALA LUMPUR 18 Feb. – Dalam usaha menanam semangat cintakan negara, ‘Kempen Malaysia Perkasa’ akan dilaksanakan di seluruh negara sepanjang tahun ini bertujuan memupuk budaya jati diri bangsa yang berani serta setia kepada bangsa dan negara.

Kempen yang akan diterajui oleh Jabatan Penerangan ini juga bertujuan membentuk aliran pemikiran rakyat agar sejajar dengan aspirasi negara serta mewujudkan perasaan benci rakyat Malaysia terhadap anasir-anasir yang boleh menjejaskan kesejahteraan dan keharmonian negara.

Persiapan kempen yang merangkumi peringkat induk, negeri dan daerah ini sudah bermula sekarang. Perasmian dijangka dilakukan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin, pada 10 Mei ini di KLCC di sini.

Selepas itu ia akan dilancarkan di peringkat negeri dengan destinasi pertama dijangka di Pekan, Pahang, seminggu berikutnya.

Timbalan Ketua Pengarah Penerangan, Datuk Poziah Abdul Rahman dalam sidang media di sini hari ini memberitahu, ‘Kempen Malaysia Perkasa’ merupakan kempen teras untuk melahirkan rakyat Malaysia yang cintakan negara, sejajar kempen berterusan Jabatan Penerangan, ‘Kempen Cintakan Negara’.

Menurutnya, golongan sasar ‘Kempen Malaysia Perkasa’ ialah remaja, belia, pemimpin masyarakat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta pelajar-pelajar institusi pengajian tinggi.

Beliau memberitahu, teras kempen tersebut adalah merealisasikan konsep Ketahanan Menyeluruh (HANRUH) dengan menekankan aspek patriotik dan sayangkan negara.

Kata beliau, kempen ini dilaksanakan bersesuaian dengan beberapa perkembangan dalam negara seperti jati diri yang semakin menurun, isu kontrak sosial dan perlembagaan, isu perpaduan serta isu ekonomi global.

”Kempen ini adalah untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum. Ia bukan propaganda dan tiada sebarang agenda politik dalam pelaksanaannya,” kata Poziah.

Tema bagi kempen tersebut, menurut beliau, ialah Malaysia Perkasa: Bersama Kita Jayakan dengan harapan membentuk bangsa Malaysia yang memiliki keutuhan psikologi, cintakan negara, berani dan sanggup berkorban untuk negara.

Pelaksanaan kempen ini di semua peringkat akan dijalankan dengan konsep karnival dan mesra rakyat dengan menumpukan kepada ‘Kempen Cintakan Negara’.

Pelbagai aktiviti dijalankan sempena kempen tersebut di peringkat pusat, negeri dan daerah, termasuk pelancaran dua naskah buku, Pejuang Merdeka dan Pejuang Sekarang.

Poziah berharap pelaksanaan ‘Kempen Malaysia Perkasa’ akan dapat melahirkan bangsa Malaysia yang cintakan negara, bertoleransi, dinamik, mempunyai integriti tinggi serta sanggup berkorban dalam usaha mencapai matlamat perpaduan negara.

Panduan pelajar :

Bincangkan kepentingan kempen tersebut terhadap pembentukan bangsa Malaysia?

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: