Pengajian Am

Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia

Isu semasa : Kempen Beli Barangan Buatan Malaysia

Posted by Cikgu Awang on January 20, 2009

Berita Harian.
Kempen beli produk Malaysia perlu sokongan menyeluruh

KEMPEN Beli Barangan Buatan Malaysia yang buat pertama kali dilancarkan pada 1984, kini dihidupkan kembali oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bertujuan meningkatkan permintaan domestik terhadap barangan buatan tempatan dan merangsang ekonomi negara.

Untuk menjayakan kempen itu, masyarakat pengguna, penjual, pengilang dan media perlulah membantu kerajaan dengan bersungguh-sungguh agar kempen kali ini benar-benar membuahkan hasil yang diharapkan.

Pertama, pengguna perlu terlebih dulu mengubah sikap dan tanggapan terhadap barangan buatan tempatan. Kita tidak boleh menafikan masih ramai rakyat Malaysia terutama golongan pertengahan dan atasan yang lebih cenderung untuk membeli barangan import. Jika sikap sedemikian berterusan, kempen yang dijalankan kerajaan ini akan terbantut.

Dengan membeli barangan tempatan, kita bukan sekadar menyokong industri tempatan malah membantu melestarikan ekonomi negara. Membeli barangan tempatan sekurang-kurangnya mengurangkan pengaliran wang negara keluar. Membeli dan menggunakan barangan tempatan adalah tindakan awal yang perlu kita ambil untuk bersama-sama menyumbang kepada pengukuhan ekonomi negara.

Kedua, masyarakat peniaga juga perlu memainkan peranan untuk menjayakan Kempen Beli Barangan Buatan Malaysia. Peniaga perlu membuktikan bahawa mereka juga memiliki semangat cintakan negara. Sebagai contoh, pasar raya boleh bertindak memperluaskan pemasaran produk tempatan, mengadakan rak yang khusus bagi memperagakan produk itu atau memberikan mata ganjaran setiap kali pembeli membeli barangan tempatan. Kesemua ini juga adalah sebahagian tanggungjawab sosial peniaga.

Ketiga, pengilang atau pengeluar juga tidak boleh lari daripada memainkan peranan mereka. Pengeluar perlu memberi tumpuan lebih serius terhadap kualiti produk, pembungkusan, penjenamaan, kos pengilangan dan pengedaran. Kesemua ini perlu bagi meyakinkan pengguna tempatan bahawa produk tempatan juga setaraf dengan produk import.
Keempat, pihak berkuasa tempatan (PBT) serta KPDNHEP negeri juga boleh menyemarakkan lagi Kempen Beli Barangan Buatan Malaysia pada peringkat daerah dan negeri. Tindakan perlu diambil agar kempen dijalankan tidak hanya hangat di sekitar Lembah Klang semata-mata tetapi turut tersebar ke seluruh negara.

Antara yang boleh dibuat ialah dengan membantu pengedaran dan pemasaran produk tempatan dengan memperbanyakkan lagi tapak niaga sementara khususnya untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) atau peniaga kecil. Di samping itu, tindakan boleh diambil untuk memastikan kedai dan pasar raya di bandar masing-masing turut serta berkempen dengan bersungguh-sungguh, menggalakkan PKS menggunakan logo buatan Malaysia secara meluas untuk barangan mereka, memperbanyakkan lagi program untuk mendidik masyarakat pengguna memahami kepentingan mengutamakan produk tempatan dan mempromosi produk tempatan yang kurang dikenali tetapi berpotensi.

Akhir sekali, peranan dan pengaruh pihak media tidak boleh diperkecilkan. Media perlu melipatgandakan usaha untuk memberi kesedaran dan mendidik masyarakat untuk turut serta menyokong Kempen Beli Barangan Buatan Malaysia.

Apabila kita membelanjakan wang kita dengan membeli produk tempatan, kita akan memastikan wang kita terus berada di Malaysia. Kita juga boleh memastikan wang kita tidak digunakan oleh syarikat-syarikat asing untuk bersekongkol dengan negara tertentu bagi mengebom sesebuah negara atau menyokong peperangan.
DR SHAIFUL ANNUAR KHALID,
UiTM Perlis.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: