Pengajian Am

Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia

Apakah punca pelajar perempuan melebihi pelajar lelaki di IPTA?

Posted by Cikgu Awang on July 22, 2010

Mencari ‘kehilangan’ pelajar lelaki di IPT
Oleh Mohd Yahya AriffinBerita Harian  : 2010/07/22

Kajian perlu dilaksanakan bagi merungkai persoalan, rangka program seimbangkan keadaan

KEMASUKAN pelajar baru ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) tempatan baru-baru ini terus dikuasai pelajar wanita. Bilangan mereka yang diterima masuk jauh melebihi pelajar lelaki dengan nisbah hampir 2:1. Maklumat Kementerian Pengajian Tinggi menunjukkan 61,750 atau 58.6 peratus daripada 105,377 pelajar yang melanjutkan pengajian di IPTA bagi sesi pengajian 2010/11 adalah pelajar wanita.

Pada peringkat universiti misalnya, sejak bertahun-tahun Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) masih didominasi pelajar wanita. Tahun ini seramai 2,471 atau 68 peratus daripada 2,635 pelajar adalah wanita. Di tempat saya berkhidmat, iaitu Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya, daripada 335 pelajar, 69 peratus (231 orang) adalah golongan itu.

Walaupun ada universiti awam yang menunjukkan pelajar lelaki lebih ramai berbanding wanita tetapi perbezaannya adalah kecil. Misalnya di Universiti Tun Hussein Onn (UTHM) iaitu 55 peratus lelaki berbanding 45 peratus wanita.

Perkembangan itu menunjukkan kecemerlangan pelajar wanita dalam pendidikan amat membanggakan dari segi kuantiti dan kualiti.

Ini adalah satu bukti kejayaan hasil usaha kerajaan memperkasa kaum wanita di Malaysia yang boleh dibanggakan supaya dapat terus bersaing dengan lelaki dalam membangun dan memajukan negara ini.

Walaupun isu itu dilihat muncul ketika kemasukan ke IPTA, namun implikasinya amat besar kepada struktur masyarakat dan sosioekonomi negara pada masa depan.
Sebenarnya, fenomena ini berlaku pada peringkat sekolah menengah lagi. Jika diamati Laporan Rancangan Malaysia ke-10 (RMKe10), pada tahun 2008 enrolmen lepasan sekolah menengah memang dikuasai pelajar wanita. Statistik menunjukkan 65.9 peratus enrolmen pelajar ialah wanita manakala lelaki hanya 34.1 peratus.

Maka tidak hairanlah trend ini diterjemahkan oleh kemasukan ke IPTA tahun ini dan diyakini fenomena itu bakal berterusan.

Malah RMKe-10 melaporkan, pada 2008 jumlah pemegang ijazah pertama dikuasai wanita iaitu 62.3 peratus berbanding lelaki 37.7 peratus. Pencapaian itu diperkukuhkan lagi dengan 52.7 peratus pemegang ijazah sarjana adalah wanita manakala lelaki 47.3 peratus.

Berdasarkan statistik penduduk 1995 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia, menunjukkan kaum lelaki bagi kumpulan berumur 0 hingga 14 tahun lebih tinggi iaitu 3.777 juta berbanding wanita 3.554 juta orang.

Statistik ini dipilih kerana kumpulan pelajar yang melanjutkan pengajian pada tahun ini ketika itu berusia sekitar tiga hingga enam tahun.

Selepas 15 tahun yang membabitkan kumpulan umur sama, keadaan sebaliknya berlaku apabila bilangan pelajar wanita yang diterima masuk ke universiti awam bagi sesi 2010/11 ini jauh melebihi lelaki.

Persoalannya, ke manakah pergi atau tercicirnya pelajar lelaki sebelum sampai ke IPTA sedangkan jumlah mereka lebih ramai berbanding wanita?

Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Psikologi dan Pembangunan Manusia, UKM, Roseliza Murni Ab Rahman, berkata antara kemungkinan yang menyebabkan mereka tercicir dalam pelajaran adalah kerana terbabit dengan pelbagai kegiatan negatif seperti ponteng sekolah, penagihan dadah, merempit dan gengsterisme sehingga mengabaikan pelajaran.

Kegagalan pada peringkat sekolah menyebabkan mereka lebih terdedah untuk terbabit dengan aktiviti tidak sihat. Ramai dalam kalangan remaja lelaki yang terbabit dalam kegiatan negatif ditangkap dan dimasukkan ke pusat serenti dan penjara juvana.

“Isu kekurangan pelajar lelaki menjadi bertambah meruncing apabila di universiti wujud segelintir pelajar lelaki yang mengamalkan gaya hidup sebagai transeksual iaitu, golongan ‘lembut’ yang berwatak wanita,” kata Roseliza.

Pensyarah Jabatan Pendidikan dan Psikologi Kaunseling, UM, Prof Madya Dr Haslee Sharil Abdullah, berkata bilangan pelajar wanita di IPTA yang jauh lebih ramai mengundang pelbagai persoalan dan implikasi.

Antaranya, apakah faktor pendorong utama kepada kejayaan akademik pelajar wanita? Adakah sistem penilaian pendidikan yang diamalkan ini lebih mesra wanita? Apakah faktor penyebab pelajar lelaki semakin ketinggalan? Adakah bilangan guru wanita yang jauh melebihi guru lelaki menyumbang kepada fenomena ini?

Menurut beliau, persoalan itu perlu dicari jawapannya melalui kajian empirikal secara makro. Hasil dapatan itu dapat merungkai persoalan ini dan seterusnya menjadi asas kepada rangka program intervensi untuk menyeimbangkan keadaan itu.

Beliau juga berkata, tidak dinafikan banyak sumber tenaga wanita terpelajar menyumbang kepada penjanaan ekonomi negara dengan mengisi jawatan di pelbagai peringkat dan sektor. Namun, jika dibiarkan situasi ini berterusan, ia akan membawa kepada banyak implikasi kepada struktur masyarakat negara ini.

Oleh itu, bagi mengimbangi kehebatan pelajar wanita yang telah sekian lama menguasai IPTA, adalah perlu bagi pelajar lelaki bangkit daripada ketinggalan untuk bersaing dengan golongan hawa.

Pelajar lelaki yang belajar pada peringkat sijil atau diploma, sebenarnya boleh meningkatkan pencapaian akademik masing-masing dengan cara meneruskan pengajian dari satu tahap ke tahap lebih tinggi.

Walaupun usaha itu mengambil masa lebih lama berbanding cara biasa, masih belum terlambat untuk menyaingi dan berada setaraf dengan pelajar wanita.

Satu lagi cara untuk bersaing dengan wanita ialah pelajar lelaki berkelulusan rendah daripada ijazah sarjana muda perlu mengukuhkan kedudukan ekonomi masing-masing melalui usaha penjanaan pendapatan seperti menjadi usahawan. Dengan kata lain, mereka perlu mempunyai sumber kewangan yang mampu menjamin kehidupan diri sendiri dan kaum wanita yang bakal menjadi pasangan hidup.

Realiti masa kini menunjukkan, selain kelulusan akademik yang tinggi, wanita masa kini mungkin akan melihat dari segi kekukuhan kewangan individu lelaki sebelum bersetuju menjadi pasangan hidup mereka.

Sama ada bersetuju atau sebaliknya, kehidupan sekarang dan akan datang memerlukan wang dalam pelbagai perkara. Apatah lagi jika mahu mendiami bandar besar di negara ini.

Penulis ialah Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian Media, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya

Apakah punca-punca lain yang menyumbang kepada gejala ini?

About these ads

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 471 other followers

%d bloggers like this: